
​Maritime Archaeology In Borneo​



​Pengenalan
Arkeologi Bawah Air dan Kelahiran Arkeologi Maritim

Baszley Bee b. Basrah Bee
​
Arkeologi Maritim adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kajian masa lepas manusia. Istilah ini mula diperkenalkan oleh Jacques Spon pada abad ke-17 dan berasal dari perkataan Yunani, arkhailogia yang membawa maksud discourse about ancient things. Umumnya, arkeologi merupakan satu bidang ilmiah yang mengkaji kebudayaan dan persekitaran masa lampau manusia berasaskan tinggalan budaya benda (material culture) dan ekofak. Lantaran sejarah perkembangan manusia yang panjang manghasilkan kepelbagaian tinggalan budaya benda dan persekitaran fizikal, maka wujud juga kepelbagaian kajian bidang arkeologi. Secara langsung membawa kepada kelahiran sub-subdisiplin baharu bersesuaian dengan sifat ilmu arkeologi yang dinamik dan pantas berkembang seiring dengan teknologi, idea, dan sentiasa mengarah kepada penemuan terbaharu.

Meskipun arkeologi lahir daripada kajian ke atas tapak di daratan khususnya zaman prasejarah, hal ini tidak menghalang kelahiran bentuk kajian arkeologi yang lain. Misalnya, kajian arkeologi bawah air yang berbeza dari segi kerja, letakan, dan ciri tinggalan budaya hanyalah perbezaan fizikalnya. Pengertian dan matlamat asasnya tetap kekal sebagai ilmu yang mengkaji dan merekonstruksi masa lampau. Hanya sebagai asas kepada bidang arkeologi yang mengkhusus kepada kajian di bawah air. Bermakna, arkeologi bawah air hanyalah satu pelabelan untuk semua kajian arkeologi yang dijalankan di tapak bawah air ataupun istilah induk bagi disiplin arkeologi yang tapaknya bersifat akuatik.

DEFINISI

Menurut Honor Frost, definisi arkeologi bawah air masih berada dalam lingkungan definisi arkeologi secara umum, iaitu dirujuk sebagai satu bidang ilmiah yang mempunyai metodologi kajian sistematik untuk merekonstruksikan ketamadunan dan kebudayaan manusia masa lampau. Takrifan ini dapat dirujuk pada definisi klasik yang diberikan oleh Glyn Daniel (1981) dengan bersandarkan Oxford English Dictionary, iaitu branch of the study which deals with the material remains of man's past. Tiga dekad kemudian, satu definisi yang lebih ringkas diberikan, iaitu The Study of The Human Past, seperti yang diutarakan oleh Mark Q. Sutton dan Robert M. Yohe II (2006), sama ada artikel jurnal, buku teks universiti atau majalah popular, definisi ini dirasakan mudah difahami. Keperluan satu definisi sedemikian penting khususnya bagi masyarakat umum, tetapi itu tidak bermakna sejarah, kemanusiaan atau sains tulen masih terus diperdebatkan. Buku ini tidak akan membincangkan hal ini lebih lanjut kerana penumpuannya adalah kepada definisi dan terminologi arkeologi bawah air yang selesa dianggap Arkeologi Baru sejak berkembang pesat sekitar tahun 1960-an.

Arkeologi bawah air sama ada dijalankan di tapak-tapak akuatik di dasar laut cetek atau dalam, sungai, tasik, paya, takungan buatan manusia seperti empangan atau diakibatkan oleh bencana alam tidak harus berbeza kerana masih sama mengekalkan metodologi umum bidang arkeologi. Rumusannya boleh dirujuk pada takrifan James P. Delgado (1997), iaitu :
"Archaeology practised in surmerged or underwater environment. This includes archaeological survey, documentation, and excavation performed in the ocean, lakes, river, streams, marshes, and, canotes, as well as reservoirs, canals and other man-made bodies of water."


TERMINOLOGI

Dari segi istilah, arkeologi bawah air dapat dirujuk sebagai persekitaran kerja dan pendekatan atau sifat khusus tinggalan budaya yang berbeza dengan arkeologi di tapak daratan. Seperti yang dinyatakan dalam Encyclopedia of Underwater and Maritime Archaeology (1997), iaitu :

"The term refers to the environment in which the work is undertaken, as well as specific approaches required for working underwater, and the unique levels of preservation not usually found on dry land sites."

​Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa arkeologi bawah air seharusnya hanya dikenali sebagai arkeologi. Pandangan ini diutarakan oleh mereka dari aliran purist dalam disiplin arkeologi. Aliran ini wujud kerana mereka melihat arkeologi dari perspektif fundamental. Perspektif ini berbeza dengan golongan realist yang mengeksploitasi bidang arkeologi untuk kepentingan ekonomi. Seperti yang ditekankan oleh tokoh arkeologi bawah air tersohor, George F.Bass (1970) :

"Archaeology under water, of course, should be called simply 'archaeology'. We do not speak of those working on the top of Nimrud Dagh in Turkey as mountain archaeologist, nor those at Tikal in Guatemala as jungle archaeologist. They are all people who are trying to answer questions regarding man's past,..."

​ Pandangan beliau ini barangkali tepat jika mengambil kira arkeologi sebagai suatu mekanisme ilmiah dalam usaha mendapatkan maklumat tentang masa lampau manusia. Pastinya tiada arkeologis yang dikenali atau diiktiraf kepakarannya berasaskan persekitaran fizikal di tempat beliau bekerja. Seperti yang ditekankan oleh beliau lagi iaitu :

"Is the study of ancient ship and its cargo, or the survey of toppled harbour walls somehow different. That such remains may lie under water, entails the use of different tools and techniques in their study, just as the survey of a large area on land, using aerial photographs, magnetic detectors, and drills, requires a procedure other than excavating the stone artifacts and bones in a Paleolithic cave. The basic aim in all these cases is the same. It is all archaeology... . No archaeologists specializes in the environment in which he works."

​Kewujudan terminologi termasuklah definisi khusus bagi sub-subdisiplin dalam bidang arkeologi itu sendiri. Mendefinisikan dan mengistilahkan sesuatu subdisplin pula memerlukan pemahaman terhadap permasalahan kajiannya. Kita tidak harus bergantung kepada perbezaan semata-mata dalam melakukan dua perkara tersebut. Hal ini demikian kerana perbezaan dalam kajian arkeologi lebih banyak membentuk persamaan berbanding dengan perbezaan. Perkara yang jelas ialah tinggalan kebudayaan bawah air semestinya berbeza dengan tinggalan yang ditemui di tapak daratan tetapi tidak bermakna tidak mempunyai kaitan konteks antara satu sama lain.

Akan tetapi, perkara ini tidak ditekankan dalam penerbitan dan media massa. Penggunaan arkeologi bawah air lebih meluas dan dirasakan sesuai atas kepentingan bidang, perundangan, dan nilai komersial. Bass menambah lagi dengan mengatakan, "The term 'underwater archaeology' stirred up in the imagination the scene of adventure and hardy men with great athletic ability but little else."

Peranan National Geographic melalui ratusan filem dokumentari yang menggunakan dan mempromosikan istilah arkeologi bawah air adalah amat berpengaruh. Kalangan audien yang kurang berpengetahuan tentang bidang arkeologi dengan mudah menerima istilah ini. Perkara ini menjadi kompleks apabila tokoh-tokoh arkeologi tersohor dalam kajian air menjadi watak utama dalam dokumentari terbitan agensi media-eksplorasi tertua ini.

Kewujudan konflik terminologi ini bertambah ketara apabila arkeologis yang menjalankan kajian di bawah air merujuk diri mereka sebagai arkeologis bawah air. Identifikasi sedemikian perlu dalam membezakan mereka dengan rakan arkeologi di daratan. Sama ada disedari atau tidak, situasi ini telah membawa kepada kelahiran arkeologi bawah air sebagai suatu bidang. Malah, penggunaan sesuatu istilah yang dianggap dapat mencerminkan kajian yang dilakukan biasanya akan membawa pelabelan terhadap sesuatu bidang. Label ini menjadi pemisah yang pastinya tidak disenangi oleh tokoh-tokoh awal seperti Glyn Daniel dan Bass.

Perkara ini semakin kompleks berikutan perkembangan internet yang pantas. Internet telah mengukuhkan penggunaan istilah arkeologi bawah air sebagai satu bidang yang tersendiri dalam arkeologi. Buktinya, hasil carian pada salah sebuah enjin pencari (search engine) internet mendapati ada lebih 1 juta websites dan 24,400 imej digital berkaitan dengan arkeologi bawah (underwater archaeology).

Dari sudut lain pula, istilah arkeologi bawah air yang diterima pakai secara global telah membentuk satu istilah piawaian bagi merujuk kajian ke atas tinggalan budaya yang berada di bawah air dengan lebih sistematik. Maksudnya, penggunaan istilah umum dalam penggubalan undang-undang sama ada oleh UNESCO atau sesebuah negara. Contoh terbaik ialah dalam Convention on the Protection of the Underwater Cultural Heritage (CPUCH 2001) yang diisytiharkan pada 2 November 2001, penggunaan perkataan warisan bawah air digunakan seiring dengan arkeologi bawah air, seperti yang dinyatakan dalam Artikel 21 konvensyen tersebut. Alasan penggunaannya kerana tidak menimbulkan kerenah birokrasi mungkin boleh diterima. Seperkara yang perlu disedari ialah istilah arkeologi daratan hanya wujud selepas istilah arkeologi bawah air digunakan. Mungkin arkeologi daratan hanya digunakan apabila membezakannya dengan arkeologi bawah air. Berlainan pula dengan arkeologi bawah air. Berlainan pula dengan arkeologi bawah air yang bersifat istilah khusus hingga menjadikannya sebagai tersendiri dalam bidang arkeologi keseluruhannya.
​
Dirumuskan bahawa penggunaan istilah arkeologi bawah air adalah kerana kerjanya yang bukan bersifat kepakaran. Arkeologis tetap sebagai arkeologi, tanpa mengira konsep sea to space digunakan dalam mengkategorikan kajian-kajian ilmiah bidang ini. Pendekatan ini adalah kaedah yang terbaik dalam mengekang para pemburu harta karun dan ahli salvaj dari mendakwa diri mereka sebagai arkeologis.
​​
SUBDISIPLIN

Kepelbagaian definisi dalam pelbagai subdisiplin arkeologi kerana wujudnya kajian-kajian yang mengutarakan persoalan dan teknologi khusus mengenai masa lampau. Seperti yang ditekankan oleh penulis dalam buku terdahulu bertajuk Arkeologi Maritim Malaysia (2002):

Persoalan tentang apa itu arkeologi bawah air, arkeologi maritim, arkeologi tentera laut [sic. naval], arkeologi laut dalam dan arkeologi samudera seharusnya bukan ditentukan oleh siapa yang menjalankan kajian tetapi bergantung kepada matlamat dan permasalahan kajian yang dilakukan [sic. dibentuk]. Dengan kata lain, apa yang hendak dikaji maka itulah bidang yang mengkaji. Hal ini kerana metodologi tetap sama dan dilakukan menggunakan kaedah serta teknik yang sama dalam memperoleh data dan analisis yang digunakan. Melainkan bidang arkeologi samudera dalam sahaja yang memerlukan pengubahsuaian pada kaedah dan teknik yang bersesuaian dengan sifat fizikal tapak.

Maka itu, lahirlah sub-subdiplin arkeologi bawah air. Perkara ini secara langsung telah menyumbang kepada kewujudan satu istilah yang tepat untuknya, iaitu kajian arkeologi yang dilakukan di bawah air dengan identiti tersendiri. Istilah ini telah memudahkan pemahaman akan jurusan kajian arkeologi yang dilakukan. Kepelbagaian bukan dilihat sebagai satu pemisah tetapi satu kesatuan ilmu yang sistematik dalam kekeliruan terhadap daratan. Ketiga-tiga sub ini mendominasi kajian arkeologi bawah air hingga menimbulkan kekeliruan terhadap pengertian arkeologi bawah air itu sendiri. Sementara itu, arkeologi air dalam diguna pakai bagi kajian di tapak bawah air yang ekstrem dan keperluan teknologi yang tinggi. Sub-sub kecil pula ialah seperti arkeologi perahu-kapal, arkeologi naval, arkeologi marin, arkeologi paya dan banyak lagi, bergantung kepada persoalan-persoalan kajian yang khusus ke atas tinggalan budaya benda.

1). Arkeologi Maritim

Arkeologi Maritim atau Maritime Archaeology ialah bidang penyelidikan yang menggabungkan pelbagai jurusan disiplin dan teknologi dalam mengkaji interaksi manusia dengan laut pada masa lampau dan impaknya dalam perkembangan kebudayaan manusia keseluruhannya. Istilah ini sering disalah rujuk sebagai arkeologi bawah air, walhal arkeologi maritim hanya sebahagian daripada bentuk kajian yang dilakukan ke atas tapak arkeologi yang ditemui di bawah air. Perlu ditekankan bahawa bidang ini dikhususkan kepada kajian ke atas tinggalan budaya berkaitan dengan laut. Pandangan ini bersesuaian dengan pendapat Keith Muckelroy (1978) tiga dekad lalu yang mendefinisikan arkeologi maritim sebagai:

"Maritime Archaeology is the scientific study, through the surviving material evidence, of all aspects of seafaring: ship, boats and their equipment; cargoes, catches, or passenger carried on them, and economic system within which they were operating; their officers and crew, especially untesil and other possessions reflecting their specialized life style"
​
Pandangan ini masih diguna pakai hingga ke hari ini, seperti David Gabbins dan Jonathan Adams (2001) merujuknya sebagai:

"Maritime archaeology, the study of the material remains of human activities in the seas and interconnected waterways, is fundamentally focused on shipwrecks. Although the definition encompases many other types of context such as harbours, submerged land surfaces and coastal settlements, shipwrecks are the most distinctive and numerous type of site studied by maritime archaeologists."
​
2). Arkeologi Nautikal

​Arkeologi Nautikal atau Nautical Archaeology ​ialah kajian terhadap tapak dan rangka perahu serta kapal yang tidak mempunyai konteks maritim, contohnya perkuburan dan keranda. Definisi Muckelroy ini bertujuan memisahkan kajian maritim dan non-maritim. Namun, kekeliruan mungkin timbul apabila rangka kapal ditemui di tapak tebus guna tanah. Jeremy Green berpandangan bahawa kajian berkaitan maritim tidak semestinya tapak yang ditemui di dasar laut. Nyatanya, kajian ini membantu arkeologi maritim dalam menyediakan data mengenai maritim khususnya di peringkat perkembangan awal arkeologi maritim yang banyak menemukan tapak-tapak di daratan. Contohnya, tinggalan arkeologi di Gua Niah dalam bentuk keranda perahu dan lukisan dinding. Begitu juga ukiran pada gendang gangsa Zaman Dongson dan relief berbentuk kapal yang terdapat di Candi Borobodur.

3) Arkeologi Air Dalam​

Arkeologi air dalam atau Deep Sea Archaeology merupakan kajian arkeologi yang dijalankan melebihi kedalaman 1000 m. Kewujudan kajian ini kerana metodologi yang digunakan agak berbeza dengan kajian arkeologi bawah air yang lain disebabkan oleh tahap masalah kerja yang jauh lebih rumit. Penggunaan teknologi yang digunakan cenderung menggunakan teknologi ketenteraan era Perang Dingin dengan penyesuaian kajian ilmiah. Perkembangan bidang ini mula dilihat kepentingannya berikutan penemuan tapak kapal karam yang berada jauh di dasar laut. Cubaan ke arahnya bermula sejak 1960-an apabila Cousteau mencipta kapal selam Diving Saucer dan menjalankan kajian pada kedalaman 1.6 km. 30 tahun kemudian bidang ini mula berdiri sebagai satu bidang kajian kerana memerlukan kepakaran dalam mengendalikannya. Penyelidikan terhadap kapal karam pada kedalaman 20,000 kaki telah dibuat oleh Syarikat Odyssey Marine Exploration dan Blue Exploration sekitar tahun 1996 dan 1997.

David Mindell mendefinisikan kajian arkeologi air dalam sebagai penyelidikan ke atas rangka kapal karam yang terletak jauh di dasar laut dan memerlukan teknologi yang lebih canggih, yakni tidak tercapai menggunakan kaedah penyelaman secara terbuka atau open diving. Dengan erti kata lain, penyelidikan ini menggunakan peralatan seperti kapal selam, teknologi robotik dan sistem pandang-dengar khas yang menyelaraskan pergerakan kerja di bawah air.











​
Penyelidikan Titanic telah membuka mata arkeologis tentang penyediaan metodologi yang sesuai untuk tahap kedalaman air yang ekstrem ditambah lagi kos perbelanjaan yang amat mahal. Seperkara lagi, kebanyakan tapak kajian terletak di kawasan perairan antarabangsa. Oleh itu, pengawasan amat sukar dilakukan oleh sebarang institusi penyelidikan arkeologi. Perkara ini mengakibatkan syarikat salvaj dapat menjalankan operasi dengan lebih bebas. Walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui UNESCO dapat menguatkuasakan sebarang bentuk undang-undang antarabangsa di kawasan ini, pengawasan masih terhad kerana banyak lagi negara belum menandatangani perisytiharan CPUCH 2001. Tindak-tanduk mereka yang mempunyai teknologi dan kapital terus berleluasa di kawasan ini . Ditambah lagi dengan perkembangan penggunaan teknologi survei dan ekskavasi dengan kapal selam atau kapal penyelidikan termoden bebas tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

3). Arkeologi Air Daratan​

Arkeologi air atau Freshwater Archaeology merupakan satu bidang arkeologi yang mengkhususkan kepada kajian ke atas tapak-tapak yang berada di kawasan akuatik daratan seperti telaga, tasik, sungai, empangan dan daratan tenggelam akibat bencana gempa bumi. Perbezaan yang jelas mengenai kajian di tapak-tapak dasar laut ialah dari segi konservasi artifak. Sifat kimia yang berbeza bagi artifak yang berada di tapak air daratan menyebabkan proses konservasi berbeza. Teknik dan peralatan dalam proses ini berbeza.




