top of page

Pengenalan

​

     Penyelidikan ini bertujuan untuk mengesan lokasi sebuah tapak rangka kapal karam baharu yang dikenal pasti berada antara Tanjung Simpang Mengayau dan Pulau Kalampunian di garisan 116° 44’5’’ T dengan jarak 400m dari pantai (stesen kajian) pada kedalaman 12m. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan mengesahkan bahawa tapak  baharu ini bukan serpihan rangka kapal Tanjung Simpang Mengayau Wreck.



     Oleh itu, ia menjadi kemestian untuk memperoleh maklumat awalan mengenai kondisi kapal, rangka kapal dan ciri-ciri fizikal laut di sekitarnya. Maklumat sedemikian akan dinilai dan menjadi panduan untuk menentukan kaedah atau pendekatan ekskavasi pada masa akan datang. Pada masa yang sama,  penilaian tahap kerosakan tapak ini akibat penyelongkaran dan pencurian artifak oleh nelayan tempatan sejak dilaporkan ditemui pada Februari 2004. Seperkara lagi, objektif yang cuba ditekankan dalam kajian ini ialah untuk mengumpul maklumat mengenai aktiviti penjarahan dan penjualan artifak purba dari tapak tersebut dan tapak-tapak kapal karam lain yang berkemungkinan berada di kawasan Tanjung Simpang Mengayau. Pengenalpastian pelaku, iaitu para nelayan yang terlibat dan individu yang bertindak sebagai orang tengah atau pembeli juga dilakukan.



Metodologi



Kaedah survey yang diaplikasikan dalam kajian ini ialah penyelaman, beach fieldwalking dan temu bual. Maklumat dari ketiga-tiga kaedah ini akan digarap bagi membentuk satu penilaian menyeluruh mengenai status dan kondisi tapak kajian ini.



1. Kaedah Penyelaman



Kaedah penyelaman yang direncanakan dengan rapi hanya dapat dilakukan pada 17 Jun 2004 disebabkan oleh keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 2 m dan tiupan angina monsoon barat daya yang kuat di kawasan perairan Tanjung Simpang Mengayau. Dua tahap selaman telah dilakukan dengan bantuan informan untuk mengesan lokasi rangka kapal. 

     

     Selaman pertama (9.45 am) dilakukan oleh tiga orang penyelam yang berjaya menemukan tapak tersebut. Empat keping artifak (seramik) telah diambil sebagai sampel. Penggambaran tidak dapat dilakukan  di bahagian dasar disebabkan  masalah teknikal yang dihadapi oleh jurugambar penyelam.  Meskipun tahap pandangan amat baik  akan tetapi pada kedalaman 10 m, arus air adalah kuat. Hasil selaman ini mendapati permukaan tapak dipenuhi oleh potongan kepingan kayu berukuran 7.5 sm tebal dan 30.5 sm lebar. Panjang potongan kepingan kayu tersebut tidak menentu. Sebanyak tujuh kawah berukuran 1.5 hingga 2 m juga telah ditemui dengan saiz garis pusat dan dalam yang berbeza.



     Selaman kedua (10.40 am) dilakukan tanpa melibatkan tunjuk arah daripada informan. Para penyelam gagal menemui lokasi rangka kapal yang ditemui pada selaman tahap pertama. Hal ini disebabkan oleh tahap pandangan hanya 1 m, arus dasar yang kuat dengan gelombang setinggi 1 hingga 1.5 m. Kondisi ini menyebabkan sauh yang digunakan tidak berfungsi mengakibatkan perahu  tidak dapat berlabuh dan hanyut  jauh dari lokasi tapak kajian. Pada dua hari seterusnya, selaman tidak dapat dilakukan akibat halangan cuaca yang tidak menentu dan berisiko.
 

     Kaedah penyelaman hanya dapat dilakukan  di sepanjang pantai dan kawasan batu karang berhadapan dengan tapak kajian.  Hanya beberapa pecahan seramik dapat ditemui di pantai. Kawasan batu karang menjadi perangkap semula jadi untuk menghalang sebarang pecahan seramik dan tembikar atau artifak lain dari terdampar di kawasan pantai. Berdasarkan maklumat dari penduduk di kawasan ini, pecahan seramik dan tembikar sering ditemui di kawasan batu karang. Namun demikian, terdapat juga kemungkinan serpihan artifak tersebut berasal dari tapak Tanjung Simpang Mengayau Wreck.



2. Temu Bual



Bagi kaedah temu bual, informan terdiri daripada pelbagai latar belakang yang menjalankan aktiviti sama ada perikanan atau rekreasi di sekitar perairan Tanjung Simpang Mengayau. Maklumat dari setiap informan akan dinilai kebenarannya dengan membandingkan maklumat-maklumat yang diterima. Hasilnya, maklumat yang diterima adalah sama, iaitu penyelongkaraan dan pencurian artifak dari tapak kajian dijalankan secara berleluasa pada kapasiti pencurian yang amat besar.



     Perkara yang dapat dirumuskan hasil temu bual dengan para informan termasuk penduduk kampung berhampiran dengan tapak kajian ini ialah penyelongkaran dan pencurian artifak berlaku dengan bebas tanpa sebarang halangan atau sekatan dari pihak berkuasa setempat, khususnya Polis Marin dan PGA Kudat.
 

     Malah hal yang mendukacitakan ialah apabila seorang penduduk berhampiran dengan tapak kajian telah melaporkan aktiviti ini kepada anggota PGA Pos Kawalan Tanjung Simpang Mengayau tetapi tiada tindakan yang diambil. Dengan mengambil kira ketiadaan sebuah bot pun dimiliki oleh pos kawalan tersebut, sebarang tindakan atau pemantauan pastinya tidak dapat dilakukan. Namun demikian, pemerhatian dari darat harus ada dan anggota berkenaan sepatutnya menghubungi ibu pejabat di Kudat untuk mendapatkan bantuan daripada Polis Marin. Penyelonggaran dan pencurian yang berlaku secara terbuka pastinya mengundang pelbagai spekulasi yang kurang menyenangkan terhadap pihak berkuasa di Kudat bukan sahaja dari kalangan masyarakat tempatan tetapi juga pihak luar.



Mengapa dikenali sebagai "Skulls Wreck"?



Seorang informan telah memaklumkan  bahawa sebiji tengkorak telah dibawa ke rumahnya tetapi memulangkannya kembali ke tapak atas desakan masyarakat tempatan. Di tapak ini sebanyak tiga biji tengkorak telah ditemui. Malah tengkorak-tengkorak tersebut telah dinaikkan dan dijemur di atas bot milik seorang nelayan tetapi kemudiannya dibuang kembali ke dalam laut atas sebab kepercayaan tahyul mereka yang mengaitkannya dengan rebut yang melanda ketika dua biji tengkorak tersebut dinaikkan dan dipermainkan oleh beberapa orang nelayan di atas kapal tersebut. Berdasarkan maklumat inilah, tapak tersebut kemudiannya dikenali sebagai Skulls Wreck.



Penilaian



Berdasarkan maklumat para penyelam dan informan,  jelas sekali tapak Skulls Wreck berada dalam keadaan yang amat kritikal dengan tahap kerosakan yang teruk. Kerosakan bukan sahaja membabitkan kecurian artifak tetapi juga pemusnahan rangka kapal. Menurut informan, mereka telah menarik puluhan kepingan papan dari tapak tersebut yang dipercayai merupakan sebahagian daripada rangka kapal tersebut berdasarkan keterangannya yang mengatakan kepingan papan tersebut dikenali dari rangka kapal.



     Akibat daripada tindakan mereka ini, banyak papan telah patah dan dibuang bertaburan di permukaan dasar. Serpihan papan inilah yang ditemui oleh para penyelam seawal selaman pertama. Pengambilan kepingan papan dari rangka kapal ini digiatkan lagi dengan tawaran harga yang tinggi oleh para pembeli yang berminat. Dengan harga mencecah RM500 bagi papan berukuran 4.8 m pastinya boleh dijadikan suatu sumber rezeki yang mudah. Perkara yang membimbangkan ialah jika para nelayan yang terbabit dengan aktiviti ini bertindak menggunakan bom untuk membongkar isi kapal, sudah pastinya rangka kapal akan berkecai dan artifak-artifaknya akan pecah. Sukar untuk kita bayangkan bagaimana negara harus berhadapan dengan keadaan sedemikian apabila masyrakat antarabangsa mengetahuinya.



Kesimpulan



Projek survei ke atas tapak Skulls Wreck telah dilaksanakan dengan jayanya dan menemukan dua perkara penting yang meletakkan tapak ini pada kedudukan yang amat kritikal dan perlu diselamatkan. Pertama, berdasarkan contoh artifak, tapak ini merupakan tapak kapal karam dari Dinasti Song (tahun 960 hingga tahun 1279). Penemuan ini menjadikannya sebagai tapak kapal karam tertua yang pernah ditemui di perairan Malaysia. Rangka kapal masih utuh tetapi bahagian tertentu badan kapal telah dikopek oleh para informan yang dilabelkan sebagai pencuri dan seharusnya dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu, artifak dan maklumat mengenai kapal ini amat membantu dalam menghuraikan sejarah perkembangan maritime awal di Sabah dan Malaysia serta Borneo pada umumnya.



     Kedua, penyelongkaran dan pencurian artifak dari tapak ini telah sampai ke tahap yang amat kritikal. Lebih daripada 5000 artifak yang terdiri dari seramik, tembikar, gong, batang tembaga, papan kapal dan meriam telah dijual secara haram hingga mencecah RM120 ribu untuk satu artifak. Malah, artifak-artifak dari tapak ini boleh didapati di tamu mingguan di Gaya Street dengan harga hanya RM45 untuk satu artifak. Oleh yang demikian, tulisan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek ekskavasi yang bakal dijalankan.


     Kadar kerosakan rangka kapal menjelaskan telah berlakunya penyelongkaran dan kecurian artifak yang melibatkan ribuan buah jumlahnya. Kewujudan permintaan dari orang tengah dengan harga yang tinggi telah menyebabkan para nelayan yang terlibat begitu rakus melakukan penyelongkaran tersebut. Ketiadaan sekatan daripada pihak berkuasa menyebabkan mereka amat selesa melakukannya. Dalam hal ini, satu siasatan perlu dijalankan bagi mengetahui bagaimana perkara sedemikian berlaku.







Skulls Wreck

Baszley Bee b. Basrah Bee, Samsol Sahar, Bilcher Bala & Peter Khoon

  • s-facebook
  • s-twitter
  • s-youtube

Other links...

 

 Check us out! 

© 2012 by Borneo Maritime Archaeology

bottom of page