
Maritime Archaeology In Borneo



Tanjung Simpang Mengayau Wreck
Pengenalan
Sherman Sauffi, Peter Molijol, Baszley Bee b. Basrah Bee & Bilcher Bala
Seperti yang dinyatakan dalam buku The Concise Encyclopedia of Archaeology, iaitu:
“The situation of island (Borneo) in the eastern maritime trade system makes clear that field work there is likely to throw much light on cultural relations throughout a large area of Further Asia.”
Objektif utama kajian ini ialah untuk mengesan semula dan mengesahkan lokasi tapak Tanjung Simpang Mengayau Wreck (7°2’.460’’ U, 116°44’.752’’ T) yang ditemui dan disalvaj pada tahun 2003 pada titik rujukan baharu iaitu 7°2’.467’’ U, 116°44’.754’’ T. Selain itu, pengesahan awal perlu dilakukan bagi mengesahkan bahawa tapak Skulls Wreck dan Tanjung Simpang Mengayau Wreck adalah dua tapak kapal karam yang berbeza. Sehubungan itu, penamaan semula tapak Tanjung Simpang Shipwreck kepada Tanjung Simpang Mengayau Wreck juga dilakukan.
Objektif seterusnya ialah untuk menilai kondisi rangka kapal dan artifaknya yang disyaki mengalami kemusnahan akibat aktiviti penyelongkaran haram dan agen alam, terutamanya arus dan ombak pada kadar kuasa yang tinggi memandangkan kedudukannya yang terlalu hampir dengan pantai dan berada di titik penemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu. Kajian seterusnya ingin memperjelaskan bahawa terusan atau laluan antara Tanjung Simpang Mengayau dan Pulau Kalampunian merupakan laluan sempit yang terpenting bagi kapal purba untuk keluar masuk antara Laut China Selatan dan Laut Sulu sejak 1000 tahun lalu.
Tanjung Simpang Mengayau dianggap menjadi landmark persimpangan laluan maritim Laut China Selatan dan Laut Sulu yang memberi panduan kepada para pelayar China untuk memasuki perairan Kepulauan Asia Tenggara. Perkara ini membuktikan bahawa kawasan utara Sabah telah pun mempunyai elemen hubungan awal dengan China khususnya perdagangan. Selain itu, kawasan di utara Sabah juga berkemungkinan berfungsi sebagai tempat persinggahan, teduhan dari ribut monsun atau taufan dan pelabuhan perdagangan purba di Teluk Marudu. Lantaran itu, kajian ke atas tapak ini dapat mencapai objektifnya bukan sahaja untuk menyelamatkan tapak tersebut tetapi juga membina fakta-fakta yang baharu.
Topografi
Abdul Munir Ladoni & Ejria Saleh
Tanjung Simpang Mengayau juga dikenali sebagai Northernmost Tip of Borneo. Tanjung ini terletak di Daerah Kudat dengan keluasan 4623 km persegi dan merupakan bahagian terkecil berbanding dengan bahagian-bahagian yang lain di Sabah. Kedudukan geografi Tanjung Simpang Mengayau ialah di latitud 7° U dan longitud 166° T. Tanjung ini mempunyai struktur batu-batan yang terbentuk sejak zaman Plestosen. Oleh itu, tanjung ini mempunyai dataran tinggi terutamanya di pesisiran pantai.
Selain itu, Tanjung Simpang Mengayau juga merupakan titik penemuan antara Laut Sulu dan Laut China Selatan. Kedudukannya daripada Pekan Kudat adalah sejauh 40 km dan 170 km daripada Bandaraya Kota Kinabalu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan taraf infrastruktur terutamanya di Daerah Kudat telah memudahkan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara untuk tiba dengan cepat dan mudah ke Tanjung Simpang Mengayau yang mempunyai keunikan dari segi pemandangan dan sifat pantainya yang menarik.
Projek
Bagi memudahkan kerja-kerja kajian, satu stesen kajian telah didirikan di kawasan pantai kira-kira 400 m dari tapak kajian. Kawasan pantai di sebelah barat Tanjung Simpang Mengayau dipilih kerana terlindung dari angin monsun Barat Daya dan merupakan kawasan labuhan perahu nelayan sekitarnya. Bagaimanapun, kewujudan batu karang kira-kira 50 m sebelum ke laut terbuka telah menjadi penghalang kepada laluan. Halangan ini tidak mengizinkan sebarang perahu untuk mendarat ketika air surut.
Sebanyak 15 selaman telah berjaya dilakukan dalam tempoh sembilan hari berselang dengan melibatkan 32 jam waktu selaman. Seramai 12 orang penyelam terlibat dengan dua penyelam tamu dari Jabatan Muzium-muzium Brunei. Memandangkan projek ini dijalankan ketika musim laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu, para penyelam berhadapan dengan tugas selaman yang amat mencabar dan berbahaya. Tiupan angin mampu mencecah kelajuan 50 km sejam dengan pergerakan arus pula pada kelajuan 4 knot dan gelombang pada ketinggian 4 m. Keadaan ini menyebabkan sepanjang 17 hari berada di stesen kajian, hanya sembilan hari penyelaman dapat dilakukan.
Penilaian Tapak
Penemuan semula tapak Tanjung Simpang Shipwreck disandarkan kepada dua fakta, iaitu perbezaan yang kecil pada bacaan GPS antara kedudukan Tanjung Simpang Shipwreck (7°2’.460’’ U, 116°44’.752’’ T) dengan tapak yang ditemui pada projek ini (7°2’.467’’ U, 116°44’.754’’ T), iaitu perbezaan bacaan 0°0’.007’’ U, 000°00’.004” T. Kedua, serpihan seramik dan tembikar yang ditemui berasal dari Dinasti Song (tahun 960 hingga tahun 1279), menyamai artifak yang ditemui di tapak Tanjung Simpang Shipwreck pada projek salvaj tahun 2003. Dengan penemuan semula ini, nama tapak Tanjung Simpang Shipwreck wajar dinamakan semula sebagai Tanjung Simpang Mengayau Wreck dengan mengambil kira sensitiviti nama tempatan atau sebutannya yang sebenar bagi mengelakkan kekeliruan.
Meskipun demikian, terdapat kemungkinan tapak kapal karam yang ditemui adalah sebuah tapak baharu. Pandangan ini berasaskan kepada beberapa perkara, iaitu artifak yang ditemui di tapak Skulls Wreck pada bulan Jun 2004 juga dari Dinasti Song. Oleh itu, masih wujud kemungkinan artifak-artifak yang ditemui adalah serpihan dari tapak tersebut.
Diandaikan juga wujud dua atau lebih kapal dalam satu angkatan pada zaman yang sama tenggelam pada lokasi yang berhampiran. Perkara ini tidak mustahil berlaku kerana terusan di antara Tanjung Simpang Mengayau dengan Pulau Kalampunian amat sempit. Jika berlaku tragedi kapal karam, pastinya akan berlaku pertindanan antara satu sama lain. Untuk itu, kemungkinan terdapat dua buah rangka kapal pada satu tapak akan berlaku. Berdasarkan koleksi penduduk tempatan, artifak seramik dan tembikar yang diperoleh di kawasan antara Pantai Kelambu hingga Pantai Bak-bak adalah dari Dinasti Song. Untuk itu, tidak mustahil terdapat beberapa buah tapak kapal karam purba dari Dinasti Song di sepanjang perairan Tanjung Simpang Mengayau. Saiz rangka kapal Tanjung Simpang Mengayau Wreck masih belum diketahui, sama ada sebuah kapal besar yang putus dua ketika karam atau dua buah kapal bersaiz kecil.
Kajian ini amat penting bukan sahaja untuk mengesahkan lokasi sebenar tapak tersebut tetapi juga untuk menjawab pelbagai persoalan mengenai sejarah maritim Sabah. Empat persoalan yang dikenal pasti ialah, apakah wujud satu bentuk perdagangan awal zaman Pra-Melaka di utara Sabah atau kawasan ini hanya berfungsi sebagai laluan perdagangan? Jika wujud perdagangan awal tersebut, apakah terdapat sebarang bentuk kerajaan, petempatan atau pelabuhan awal di kawasan sekitar utara Sabah dengan merujuk kepada Teluk Marudu?
Apakah kawasan utara Sabah menjadi pintu masuk barangan eksport China ke kawasan lain di Sabah pada skala kecil-kecilan khususnya tembikar, seramik dan gong? Apakah faktor penarik yang menyebabkan para pelayar dan pedagang China mneggunakan atau memilih laluan atau terusan sempit yang bahaya antara Tanjung Simpang Mengayau dengan Pulau Kalampunian. Namun, persoalan-persoaln tersebut hanya dapat dirungkai dengan penemuan lebih banyak tapak bukan sahaja di bawah air tetapi juga di daratan di kawasan tersebut.
Penemuan
Hasil daripada penyelaman yang dilakukan selama sembilan hari, sebanyak 131 artifak telah dibawa naik untuk tujuan penilaian dan pra-interpretasi. Kesemua artifak yang ditemui telah dirawat dengan merendamkannya di dalam air sebaik sahaja dibawa naik ke stesen kajian dengan diselia oleh pakar konservasi dari JMS. Artifak tersebut diletakkan di dalam bekas khas agar selamat dihantar ke Kota Kinabalu. Di makmal konservasi Muzium Sabah, artifak-artifak berkenaan akan terus dirawat sehingga kandungan garam hilang. Proses rawatan ini penting bagi mengekalkan kondisi asal artifak tersebut dan mengelakkannya dari pecah kerana pengeringan akibat proses pembentukan kristal garam.
Analisis Awal
Berdasarkan analisis yang telah dilakukan, tiga dapatan yang diperoleh iaitu pertama, tapak yang ditemui merupakan tapak Tanjung Simpang Shipwreck yang ditemui dan disalvaj pada tahun 2003. Kedua, persekitaran tapak dan artifak berada dalam situasi yang kritikal dan perlu diselamatkan segera. Terakhir, rangka kapal masih tertimbus antara kedalaman 1 hingga 1.5 m di bawah permukaan dasar laut. Perbandingan di antara artifak daripada penyelidikan ini dengan artifak dari salvaj pada tahun 2003 telah dilakukan untuk mengesahkan penemuan semula tapak Tanjung Simpang Shipwreck. Persamaan jelas didapati pada artifak contoh iaitu mangkuk seladon dan tempayan tembikar. Oleh itu, artifak yang telah ditemui merupakan produk Dinasti Song Utara.
Kesimpulan
Rumusannya, kajian ini membuktikan bahawa persekitaran tapak telah mengalami kerosakan dengan bersandarkan pada penemuan begitu banyak serpihan tembikar, seramik dan kepingan kayu kapal yang bertaburan di permukaan tapak. Kondisi ini terhasil akibat aktiviti penjarahan dan pencurian artifak oleh para nelayan dan pemburu harta karun sebelum kajian ini dilakukan. Kajian ini juga mengesahkan rangka kapal masih tertimbus pada kedalaman antara 1 hingga 1.5 m. Kondisi dan saiz rangka kapal serta kargonya masih belum diketahui kerana kajian ini lebih bersifat pre-disturbance survey.
Keperluan untuk ekskavasi selanjutnya amat kritikal bukan sahaja untuk persoalan ini tetapi juga untuk mengelakkannya dari terus diselongkar. Perkara ini dibuktikan dengan penemuan terlalu banyak serpihan bahagian mulut tempayan tembikar. Dari 131 artifak yang diambil contoh, 13 darinya adalah serpihan bahagian mulut tempayan tembikar pelbagai saiz. Penemuan ini menyokong pandangan penulis bahawa artifak berkenaan telah ditarik keluar oleh penyelongkar dan pencuri dalam usaha mereka mendapatkannya. Pendapat ini juga disokong oleh laporan terdahulu yang menerangkan teknik penyelongkaran dilakukan.




